Saturday, August 30, 2014

Biografi Ringkas Al-Imam Asy-Syafie


Al-Azhar masih meletakkan Qarar (silibus) Fiqh dari Imam Asy-Syafie

Bismillah was sholatu wassalam 'ala Rasulillah sayyidil anbiya' wal mursalin.

Al-Imam Asy-Syafie rahimahullahu ta'ala ..

Beliau ialah Al-Faqihul Mazhab wal-'Alimul Quraisy Abu Abdullah, Muhammad Bin Idris Bin Abbas Bin Uthman Bin Syafi' Bin Sa'ib Bin Abu Yazid Bin Hasyim Bin Abdul Muthalib Bin Abdul Manaf Bin Qusay. Abdul Manaf adalah nenek kesembilan dari Imam Syafie dan keempat dari Rasulullah SAW. Ibu Imam Syafie, Fatimah Bin Abdullah Bin Hassan Bin Husain Bin Ali Bin Abi Thalib. Ibunya merupakan cucu kepada cucu Rasulullah SAW.

Imam Syafie rahimahullahu ta'ala dilahirkan di Gaza (selatan Palestin) pada tahun 150H. Pada hari kelahiran beliau, dua ulamak besar telah meninggal dunia pada hari yang sama iaitu Imam Nu'man Bin Tsabit (dikenali sebagai Imam Abu Hanifah dan pengasas bagi Mazhab Hanafi) dan Imam Ibnu Juraij al-Makki, Mufti Hijaz di Makkah. Ulamak ahli firasat mentafsirkan bahawa ia adalah tanda yang Imam Syafie yang bakal menggantikan tempat mereka dari segi kedalaman ilmu dan ketokohannya.




Kitab Al-Risalah oleh Imam Syafie

Dalam kitab Tarikh Baghdad, ditulis bahawa ketika ibunya mengandungkan Imam Syafie, ibunya bermimpi melihat bintang yang besar dan bergerak keluar dari perut ibunya, terus naik ke langit sehingga sampai dan jatuh di Mesir. Cahaya percikan bintang itu bertebaran ke seluruh dunia. Para ahli takwil mimpi menafsirkan bahawa, ibunya akan melahirkan seorang anak yang bakal menjadi ulamak yang besar yang ilmu secara khusus memberi manfaat kepada penduduk Mesir dan akan menjadi terkenal serta diikuti di seluruh dunia.

Semasa berusia dua tahun, beliau dibawa oleh ibunya ke Makkah untuk tinggal bersama keluarga ayahnya di kampung Bani Muthalib. Beliau berminat memanah sejak kecil. Beliau sudah hafaz Al-Quran ketika berumur tujuh tahun dan mempunyai suara yang lunak ketika membaca Al-Quran, di samping menguasai ilmu tajwid dan ilmu tafsir. Semasa di Makkah ketika berumur belasan tahun, penduduk Makkah mengenali beliau sebagai qari Al-Quran yang baik. Oleh kerana itulah, jika mereka ingin menikmati bacaan Al-Quran yang khusyuk, mereka akan berkumpul dan memanggil Imam Syafie untuk membacanya. Pada umur 11 tahun, beliau sudah menghafal kitab Al-Muwatto' tulisan gurunya, Imam Malik Bin Anas (pengasas Mazhab Maliki) dan diberi kepercayaan untuk mengeluarkan fatwa ketika berusia 15 tahun.

Kekuatan yang dimiliki oleh Imam Syafie adalah anugerah daripada Allah dan mempunyai kaitan dengan mimpinya berjumpa Rasulullah SAW. Imam Syafie berkata : "Aku pernah bermimpi berjumpa Rasulullah SAW sebelum baligh lagi. Baginda berkata kepadaku : "Wahai anak!" Aku menjawab : "Labbaika Ya Rasulallah." Baginda Rasulullah SAW bertanya : "Dari mana asal keturunan kamu?" Aku menjawab : "Dari keturunanmu." Baginda Rasulullah SAW berkata : "Hampirkan dirimu ke sini." Kemudian baginda mengambil air liurnya yang mulia dan aku pun membuka mulutku." Baginda menyapukan air liur baginda tadi ke lidah, mulut, dan dua bibirku, lalu bersabda : "Pergilah kamu, semoga Allah SWT memberkati kamu." Setelah itu, aku tidak pernah keliru ketika membaca dan menghafal hadith mahupun syair atau sastera."

Di Makkah, beliau belajar fiqh daripada Muslim Bin Khalid Az-Zanji (Mufti Makkah ketika itu), kemudian belajar daripada Daud Bin Abdur Rahman Al-Athhar, Muhammad Bin Ali Bin Syafi' (ayah saudaranya), Sufyan Bin Uyainah, Abdur Rahman Bin Abi Bakr Al-Mulaiki, Said Bin Salim, Fudahil Bin Al-Iyadh dan lain-lain. Imam Baihaqi menyebutkan bahawa guru-gurunya Imam Syafie di Makkah adalah seramai 19 orang.

Kitab Al-Umm yang dikenali sebagai 'Qaul Jadid'

Ketika berusia 13 tahun, beliau pergi ke Madinah dan belajar dengan Imam Malik Bin Anas sehinggalah Imam Malik meninggal. Imam Malik memintanya supaya tinggal bersamanya dan beliau tinggal bersamanya selama empat tahun. Imam Syafie berumur 29 tahun ketika kematian gurunya, Imam Malik. Walaupun berguru dengan Imam Malik dan tinggal lama di Madinah, beliau tetap juga berulang-alik ke Makkah dan qabilah Huzail sehinggalah gurunya Imam Malik meninggal pada tahun 179H. Beliau sangat menyanjungi dan sangat mengagumi Imam Malik di Madinah dan Imam Sufyan Bin Uyainah di Makkah. Setelah menjadi seorang imam besar, beliau pernah mengatakan : "Seandainya tidak ada Malik Bin Anas dan Sufyan Bin Uyainah, nescaya akan hilanglah ilmu di Hijaz." Beliau selalu memuji Imam Malik ke mana sahaja beliau pergi dengan katanya : "Imam Malik adalah guruku. Daripadanya aku belajar dan tidak ada seorang yang dapat memberi kepuasan kepadaku dalam pelajaran selain beliau. Aku menjadikannya hujah antara aku dan Allah." Beliau juga pernah mengatakan : "Apabila datang Imam Malik di suatu majlis, maka Maliklah yang menjadi bintang di majlis itu." Antara guru-guru Imam Syafie di Madinah ialah Ibrahim Bin Saad, Ismail Bin Jaafar, Athhaf Bin Khalid dan Abdul Aziz Ad-Dawardi. Imam Baihaqi menyenaraikan lebih kurang 14 guru Imam Syafie di Madinah. Setelah kematian Imam Malik, beliau kembali ke Makkah.

Beliau kemudiannya pergi ke Yaman dan belajar daripada Mutharrif Bin Mazin, Hisyam Bin Yusuf Al-Qadhi dan banyak lagi hampir lapan orang semuanya. Semasa di Sana'a, beliau berkahwin dengan Hamidah Bin Nafi', cucu kepada Sayyidina Uthman Bin Affan dan mendapat tiga orang anak. Salah seorang anaknya, Abu Uthman Muhammad Bin Imam Syafie kemudiannya menjadi qadhi di Halab, Syria.

Setelah itu, beliau pergi Baghdad, Iraq. Mengikut riwayat, beliau tiba di Baghdad pada malam Isnin, 10 Syaaban tahun 184H. Pendapat yang terkuat ialah setelah kematian Imam Abu Yusuf lebih kurang setahun atau dua tahun. Ketika itu, Imam Syafie berumur 34 tahun dan Baghdad berada di bawah pemerintahan Harun al-Rasyid. Beliau banyak mengambil ilmu daripada Muhammad Bin Al-Hassan, seorang ahli fiqh Hanafi di negeri Iraq. Beliau juga belajar dari Ismail Bin Ulaiyyah dan Abdul Wahhab ats-Tsaqafi dan lain-lain. Beliau akhirnya mendapat tempat dan nama di Baghdad dan didatangi oleh para penuntut ilmu. Antara tokoh-tokoh yang menghadiri majlis beliau ialah Abu Bakar Abdullah Bin Az-Zubair Al-Humaidi (guru Imam Bukhari), Abu Yaaqub Yusuf Al-Buwaithi, Abu Thaur Ibrahim Bin Khalid Al-Kalbi, Harmalah Bin Yahya, Musa Bin Abil Jarud Al-Makki, Abdul Aziz Bin Yahya Al-Kinani,Al-Makki (pengarang kitab Al-Haidah), Husain Bin Ali Al-Karabisi dan lain-lain. Guru-guru beliau di Iraq lebih kurang 11 orang. Sepanjang beliau di Iraq, beliau telah mengarang kitab dan pendapat beliau yang lebih dikenali sebagai 'Qaul Qadim' (Pendapat Lama). Di Baghdad, beliau pernah dipenjarakan kerana difitnah.

Setelah menimba ilmu di Iraq, beliau kembali ke Makkah. Beliau menjadikan Masjidil Haram sebagai tempat mengajar dan menyebarkan ilmu. Beliau sangat terkenal dalam kalangan para ulamak dan para hujjaj dalam ilmu Usul Fiqh, ilmu yang belum dikupas secara mendalam oleh para ulamak sebelum beliau. Antara yang menghadiri majlis ilmu di Masjidil Haram ialah Imam Ahmad Bin Hanbal (pengasas Mazhab Hanbali). Oleh kerana terpegun dengan kedalaman ilmunya, Imam Ahmad akhirnya menjadi anak murid Imam Syafie yang setia. Imam Syafie mengajar di Masjidil Haram hampir sembilan tahun.

Imam Syafie datang semula ke Iraq pada tahun 195H (ada yang mengatakan 198H) semasa di bawah pemerintahan Khalifan Al-Makmun. Beliau menetap di sana selama dua tahun.



Selepas itu, beliau pergi ke Mesir pada 199H. Semasa di Mesir, beliau banyak mengarang kitab. Pendapat dan fatwa beliau ketika di Mesir dikenali sebagai 'Qaul Jadid' (Pendapat Baru). Usia Qaul Jadid ini ialah lima tahun, iaitu tahun kedatangan beliau di Mesir hingga tahun kematiannya juga di Mesir. Di Mesir, beliau mengajar di Masjid Amru Bin Al-As dan ini merupakan pusat pengajian pertama oleh Imam Syafie ketika di Mesir. Imam Syafie mempunyai kedudukan yang tinggi dan sangat dihormati dari segi keilmuan, kewarakan dan ta'abuddnya yang diakui oleh para ulamak. Imam Syafie meninggal di Mesir pada tahun 204H dalam usia 54 tahun, selepas menunaikan solat Maghrib, malam Jumaat, akhir bulan Rejab dan dimaqamkan pada hari Jumaat. Pada petang pengebumiannya, anak bulan Syaaban 204H kelihatan.

Rasulullah SAW telah bersabda tentang kedatangan Imam Syafie RA dengan sabdanya : "Seorang alim Quraisy akan memenuhi lapisan dunia ini dengan ilmu." Menurut Imam Ahmad Bin Hanbal, bahawa apa yang dimaksudkan Rasulullah SAW dengan sabdanya ini menunjukkan Imam Syafie.

Moga dengan segala kebaikan Imam Syafie, Allah mempermudahkan segala urusan kita.
Moga dengan segala kebaikan Imam Syafie, Allah faqihkan kita dalam ilmu agama.

Allahumma aamiin.

Sumber :
1- Khilafiah Persoalan dan Penjelasan oleh Ustaz Muhadir Haji Joll (Pensyarah UIAM)
2- Mendekati Ulama' dan Para Wali Allah di Mesir

Wan Ahmad Zuhairi,
31 Ogos 2014,
Rumah Perlis Hayyu Sabi'e,
Kaherah, Mesir.

No comments:

Post a Comment