Saturday, August 30, 2014

Istilah Fiqh Mazhab Al-Imam Asy-Syafie





Di dalam Mazhab al-Imam Asy-Syafie (wafat 204H) rahimahullahu ta'ala, ada istilah-istilah khas dan istilah-istilah ini mempunyai maksudnya tersendiri. Ia sangat penting bagi penuntut ilmu dalam bidang Syariah, terutamanya yang menggunakan qarar atau silibus fiqh nya daripada Mazhab Imam Asy-Syafie. Antara istilah-istilah yang dimaksudkan adalah :


1- Al-Azhar (الأظهر) : Iaitu pandangan yang lebih kuat daripada dua atau lebih pandangan yang mempunyai dalil yang kuat, yang datangnya Imam Syafie. 

2- al-Masyhur (المشهور) : Iaitu pendapat yang lebih rajih dari dua pandangan Imam Syafie, di mana kedua-duanya berdalilkan dalil yang lemah. 

3- al-Asah (الأصح) : Iaitu hukum fiqh (pandangan) yang lebih kuat dalam Mazhab Syafie di antara pelbagai pandangan dari pelbagai ulamak dalam Mazhab Syafie, yang mana semua pandangan mempunyai dalil yang kuat. 

4- as-Sahih (الصحيح) : Iaitu pandangan yang benar dari pelbagai pandangan ulamak mazhab, yang mana lawannya adalah pandangan dhaif (lemah). 

5- an-Nas (النص) : Iaitu ayat yang tercatat dalam kitab-kitab Imam Syafie, yang datang dari kalam Imam Syafie sendiri. 

6- al-Mazhab (المذهب) : Iaitu pendapat yang rajih ketika wujud ikhtilaf di antara ulama Ashabul Wujuh (seperti Imam al-Ghazali, al-Qaffal dan lain-lain). 

7- at-Takhrij (التخريج) : Iaitu Imam Syafie menjawab dengan dua hukum yang berbeza dalam dua bentuk soalan yang hampir serupa. Tidak jelas perbezaan antara keduanya. Walau bagaimanapun, yang lebih tepat, pandangan seumpama ini tidak dinisbahkan kepada Imam Syafie, menurut Imam Syirazi (lihat المجموع dan مغنى المختاج). 

8- Sebutan bagi pandangan yang dhaif (lemah) : Bagi menzahirkan kedhaifan pendapat, maka akan digunakan lafaz seperti berikut : 

a) قيل كذا (dikatakan sebegitu) 
b) و في قول كذا (dan kata seperti ini) 
c) رُوي (diriwayatkan) 


Selain itu juga, ada istilah-istilah khas yg selalu diguna pakai dalam kitab-kitab Mazhab Syafie : 

1- Syeikhan (شيخان) : Merujuk kepada Imam Nawawi (656H) dan Imam Rafie (623H). 

2- al-Qadhi (القاضي) : Merujuk kepada Qadhi Husain. 

3- al-Qadhian (القاضيان) : Merujuk kepada Qadhi al-Mawardi (450H) dan Qadhi ar-Ruyani (478H). 

4- al-Imam (الإمام) : Merujuk kepada Imam Haramain (Imam Abdul Malik Bin Abu Muhammad al-Juwaini). 

5- asy-Syuyukh (الشيوخ) : Merujuk kepada Imam Nawawi, Imam Rafie dan Imam Tajuddin as-Subki (771H). 

6- Apabila Imam Khatib Syarbaini (977H), pengarang kitab الإِقْنَاع dan مُغْنِى المُخْتَاج mengatakan 'Syeikhi', ia bermaksud Muhammad Bin Ahmad ar-Ramli (dikenali sebagai Syafie Soghir). 

7- Syeikhul Islam (شيخ الإسلام) : Merujuk kepada Imam Zakaria al-Ansari (926H). 

8- Hujjatul Islam (حجة الإسلام) : Merujuk kepada Imam al-Ghazali (505H). 



Istilah-istilah ini menunjukkan ilmu fiqh dalam Mazhab Syafie bukanlah sebagai 'mainan orang awam'. Tapi, Alhamdulillah para ulamak dan para asatizah yang bermazhab Syafie, banyak membantu kita dalam menyelesaikan beberapa isu yg tak dapat difikirkan di luar kotak oleh orang awam seperti kita. 

Pun begitu, segelintir daripada kita memilih untuk tidak bermazhab. Akan tapi mereka merujuk kpd imam-imam mazhab. Cumanya, PASTI mereka diberi kemudahan dan kekuatan untuk mengenali setiap imam-imam dalam mazhab yang lain, kaedah-kaedah dalam mazhab yang lain, hatta istilah-istilah yang diguna pakai dalam mazhab-mazhab yang lain iaitu mazhab empat yang muktabar dan disebabkan itu mereka berani untuk tidak bermazhab walhal mereka terdiri daripada golongan awam. Taamalu wa tanbih bi haza hal. 

Moga rahmat Allah mengiringi kita semua termasuk para ulamak kita, baik ulamak dari mazhab Syafie mahupun dari mazhab muktabar yang lain.

Sumber rujukan :
Khilafiah, Persoalan dan Penjelasan (Meluruskan Kekeliruan Dalam Masyarakat Melalui Pencerahan Ulama Panduan Umat), ms 702-703.

Wan Ahmad Zuhairi,
31 Ogos 2014,
Rumah Perlis, Hayyu Sabi'e
Kaherah, Mesir.

No comments:

Post a Comment