Saturday, August 30, 2014

Istilah Fiqh Mazhab Al-Imam Asy-Syafie





Di dalam Mazhab al-Imam Asy-Syafie (wafat 204H) rahimahullahu ta'ala, ada istilah-istilah khas dan istilah-istilah ini mempunyai maksudnya tersendiri. Ia sangat penting bagi penuntut ilmu dalam bidang Syariah, terutamanya yang menggunakan qarar atau silibus fiqh nya daripada Mazhab Imam Asy-Syafie. Antara istilah-istilah yang dimaksudkan adalah :


1- Al-Azhar (الأظهر) : Iaitu pandangan yang lebih kuat daripada dua atau lebih pandangan yang mempunyai dalil yang kuat, yang datangnya Imam Syafie. 

2- al-Masyhur (المشهور) : Iaitu pendapat yang lebih rajih dari dua pandangan Imam Syafie, di mana kedua-duanya berdalilkan dalil yang lemah. 

3- al-Asah (الأصح) : Iaitu hukum fiqh (pandangan) yang lebih kuat dalam Mazhab Syafie di antara pelbagai pandangan dari pelbagai ulamak dalam Mazhab Syafie, yang mana semua pandangan mempunyai dalil yang kuat. 

4- as-Sahih (الصحيح) : Iaitu pandangan yang benar dari pelbagai pandangan ulamak mazhab, yang mana lawannya adalah pandangan dhaif (lemah). 

5- an-Nas (النص) : Iaitu ayat yang tercatat dalam kitab-kitab Imam Syafie, yang datang dari kalam Imam Syafie sendiri. 

6- al-Mazhab (المذهب) : Iaitu pendapat yang rajih ketika wujud ikhtilaf di antara ulama Ashabul Wujuh (seperti Imam al-Ghazali, al-Qaffal dan lain-lain). 

7- at-Takhrij (التخريج) : Iaitu Imam Syafie menjawab dengan dua hukum yang berbeza dalam dua bentuk soalan yang hampir serupa. Tidak jelas perbezaan antara keduanya. Walau bagaimanapun, yang lebih tepat, pandangan seumpama ini tidak dinisbahkan kepada Imam Syafie, menurut Imam Syirazi (lihat المجموع dan مغنى المختاج). 

8- Sebutan bagi pandangan yang dhaif (lemah) : Bagi menzahirkan kedhaifan pendapat, maka akan digunakan lafaz seperti berikut : 

a) قيل كذا (dikatakan sebegitu) 
b) و في قول كذا (dan kata seperti ini) 
c) رُوي (diriwayatkan) 


Selain itu juga, ada istilah-istilah khas yg selalu diguna pakai dalam kitab-kitab Mazhab Syafie : 

1- Syeikhan (شيخان) : Merujuk kepada Imam Nawawi (656H) dan Imam Rafie (623H). 

2- al-Qadhi (القاضي) : Merujuk kepada Qadhi Husain. 

3- al-Qadhian (القاضيان) : Merujuk kepada Qadhi al-Mawardi (450H) dan Qadhi ar-Ruyani (478H). 

4- al-Imam (الإمام) : Merujuk kepada Imam Haramain (Imam Abdul Malik Bin Abu Muhammad al-Juwaini). 

5- asy-Syuyukh (الشيوخ) : Merujuk kepada Imam Nawawi, Imam Rafie dan Imam Tajuddin as-Subki (771H). 

6- Apabila Imam Khatib Syarbaini (977H), pengarang kitab الإِقْنَاع dan مُغْنِى المُخْتَاج mengatakan 'Syeikhi', ia bermaksud Muhammad Bin Ahmad ar-Ramli (dikenali sebagai Syafie Soghir). 

7- Syeikhul Islam (شيخ الإسلام) : Merujuk kepada Imam Zakaria al-Ansari (926H). 

8- Hujjatul Islam (حجة الإسلام) : Merujuk kepada Imam al-Ghazali (505H). 



Istilah-istilah ini menunjukkan ilmu fiqh dalam Mazhab Syafie bukanlah sebagai 'mainan orang awam'. Tapi, Alhamdulillah para ulamak dan para asatizah yang bermazhab Syafie, banyak membantu kita dalam menyelesaikan beberapa isu yg tak dapat difikirkan di luar kotak oleh orang awam seperti kita. 

Pun begitu, segelintir daripada kita memilih untuk tidak bermazhab. Akan tapi mereka merujuk kpd imam-imam mazhab. Cumanya, PASTI mereka diberi kemudahan dan kekuatan untuk mengenali setiap imam-imam dalam mazhab yang lain, kaedah-kaedah dalam mazhab yang lain, hatta istilah-istilah yang diguna pakai dalam mazhab-mazhab yang lain iaitu mazhab empat yang muktabar dan disebabkan itu mereka berani untuk tidak bermazhab walhal mereka terdiri daripada golongan awam. Taamalu wa tanbih bi haza hal. 

Moga rahmat Allah mengiringi kita semua termasuk para ulamak kita, baik ulamak dari mazhab Syafie mahupun dari mazhab muktabar yang lain.

Sumber rujukan :
Khilafiah, Persoalan dan Penjelasan (Meluruskan Kekeliruan Dalam Masyarakat Melalui Pencerahan Ulama Panduan Umat), ms 702-703.

Wan Ahmad Zuhairi,
31 Ogos 2014,
Rumah Perlis, Hayyu Sabi'e
Kaherah, Mesir.

Biografi Ringkas Al-Imam Asy-Syafie


Al-Azhar masih meletakkan Qarar (silibus) Fiqh dari Imam Asy-Syafie

Bismillah was sholatu wassalam 'ala Rasulillah sayyidil anbiya' wal mursalin.

Al-Imam Asy-Syafie rahimahullahu ta'ala ..

Beliau ialah Al-Faqihul Mazhab wal-'Alimul Quraisy Abu Abdullah, Muhammad Bin Idris Bin Abbas Bin Uthman Bin Syafi' Bin Sa'ib Bin Abu Yazid Bin Hasyim Bin Abdul Muthalib Bin Abdul Manaf Bin Qusay. Abdul Manaf adalah nenek kesembilan dari Imam Syafie dan keempat dari Rasulullah SAW. Ibu Imam Syafie, Fatimah Bin Abdullah Bin Hassan Bin Husain Bin Ali Bin Abi Thalib. Ibunya merupakan cucu kepada cucu Rasulullah SAW.

Imam Syafie rahimahullahu ta'ala dilahirkan di Gaza (selatan Palestin) pada tahun 150H. Pada hari kelahiran beliau, dua ulamak besar telah meninggal dunia pada hari yang sama iaitu Imam Nu'man Bin Tsabit (dikenali sebagai Imam Abu Hanifah dan pengasas bagi Mazhab Hanafi) dan Imam Ibnu Juraij al-Makki, Mufti Hijaz di Makkah. Ulamak ahli firasat mentafsirkan bahawa ia adalah tanda yang Imam Syafie yang bakal menggantikan tempat mereka dari segi kedalaman ilmu dan ketokohannya.




Kitab Al-Risalah oleh Imam Syafie

Dalam kitab Tarikh Baghdad, ditulis bahawa ketika ibunya mengandungkan Imam Syafie, ibunya bermimpi melihat bintang yang besar dan bergerak keluar dari perut ibunya, terus naik ke langit sehingga sampai dan jatuh di Mesir. Cahaya percikan bintang itu bertebaran ke seluruh dunia. Para ahli takwil mimpi menafsirkan bahawa, ibunya akan melahirkan seorang anak yang bakal menjadi ulamak yang besar yang ilmu secara khusus memberi manfaat kepada penduduk Mesir dan akan menjadi terkenal serta diikuti di seluruh dunia.

Semasa berusia dua tahun, beliau dibawa oleh ibunya ke Makkah untuk tinggal bersama keluarga ayahnya di kampung Bani Muthalib. Beliau berminat memanah sejak kecil. Beliau sudah hafaz Al-Quran ketika berumur tujuh tahun dan mempunyai suara yang lunak ketika membaca Al-Quran, di samping menguasai ilmu tajwid dan ilmu tafsir. Semasa di Makkah ketika berumur belasan tahun, penduduk Makkah mengenali beliau sebagai qari Al-Quran yang baik. Oleh kerana itulah, jika mereka ingin menikmati bacaan Al-Quran yang khusyuk, mereka akan berkumpul dan memanggil Imam Syafie untuk membacanya. Pada umur 11 tahun, beliau sudah menghafal kitab Al-Muwatto' tulisan gurunya, Imam Malik Bin Anas (pengasas Mazhab Maliki) dan diberi kepercayaan untuk mengeluarkan fatwa ketika berusia 15 tahun.

Kekuatan yang dimiliki oleh Imam Syafie adalah anugerah daripada Allah dan mempunyai kaitan dengan mimpinya berjumpa Rasulullah SAW. Imam Syafie berkata : "Aku pernah bermimpi berjumpa Rasulullah SAW sebelum baligh lagi. Baginda berkata kepadaku : "Wahai anak!" Aku menjawab : "Labbaika Ya Rasulallah." Baginda Rasulullah SAW bertanya : "Dari mana asal keturunan kamu?" Aku menjawab : "Dari keturunanmu." Baginda Rasulullah SAW berkata : "Hampirkan dirimu ke sini." Kemudian baginda mengambil air liurnya yang mulia dan aku pun membuka mulutku." Baginda menyapukan air liur baginda tadi ke lidah, mulut, dan dua bibirku, lalu bersabda : "Pergilah kamu, semoga Allah SWT memberkati kamu." Setelah itu, aku tidak pernah keliru ketika membaca dan menghafal hadith mahupun syair atau sastera."

Di Makkah, beliau belajar fiqh daripada Muslim Bin Khalid Az-Zanji (Mufti Makkah ketika itu), kemudian belajar daripada Daud Bin Abdur Rahman Al-Athhar, Muhammad Bin Ali Bin Syafi' (ayah saudaranya), Sufyan Bin Uyainah, Abdur Rahman Bin Abi Bakr Al-Mulaiki, Said Bin Salim, Fudahil Bin Al-Iyadh dan lain-lain. Imam Baihaqi menyebutkan bahawa guru-gurunya Imam Syafie di Makkah adalah seramai 19 orang.

Kitab Al-Umm yang dikenali sebagai 'Qaul Jadid'

Ketika berusia 13 tahun, beliau pergi ke Madinah dan belajar dengan Imam Malik Bin Anas sehinggalah Imam Malik meninggal. Imam Malik memintanya supaya tinggal bersamanya dan beliau tinggal bersamanya selama empat tahun. Imam Syafie berumur 29 tahun ketika kematian gurunya, Imam Malik. Walaupun berguru dengan Imam Malik dan tinggal lama di Madinah, beliau tetap juga berulang-alik ke Makkah dan qabilah Huzail sehinggalah gurunya Imam Malik meninggal pada tahun 179H. Beliau sangat menyanjungi dan sangat mengagumi Imam Malik di Madinah dan Imam Sufyan Bin Uyainah di Makkah. Setelah menjadi seorang imam besar, beliau pernah mengatakan : "Seandainya tidak ada Malik Bin Anas dan Sufyan Bin Uyainah, nescaya akan hilanglah ilmu di Hijaz." Beliau selalu memuji Imam Malik ke mana sahaja beliau pergi dengan katanya : "Imam Malik adalah guruku. Daripadanya aku belajar dan tidak ada seorang yang dapat memberi kepuasan kepadaku dalam pelajaran selain beliau. Aku menjadikannya hujah antara aku dan Allah." Beliau juga pernah mengatakan : "Apabila datang Imam Malik di suatu majlis, maka Maliklah yang menjadi bintang di majlis itu." Antara guru-guru Imam Syafie di Madinah ialah Ibrahim Bin Saad, Ismail Bin Jaafar, Athhaf Bin Khalid dan Abdul Aziz Ad-Dawardi. Imam Baihaqi menyenaraikan lebih kurang 14 guru Imam Syafie di Madinah. Setelah kematian Imam Malik, beliau kembali ke Makkah.

Beliau kemudiannya pergi ke Yaman dan belajar daripada Mutharrif Bin Mazin, Hisyam Bin Yusuf Al-Qadhi dan banyak lagi hampir lapan orang semuanya. Semasa di Sana'a, beliau berkahwin dengan Hamidah Bin Nafi', cucu kepada Sayyidina Uthman Bin Affan dan mendapat tiga orang anak. Salah seorang anaknya, Abu Uthman Muhammad Bin Imam Syafie kemudiannya menjadi qadhi di Halab, Syria.

Setelah itu, beliau pergi Baghdad, Iraq. Mengikut riwayat, beliau tiba di Baghdad pada malam Isnin, 10 Syaaban tahun 184H. Pendapat yang terkuat ialah setelah kematian Imam Abu Yusuf lebih kurang setahun atau dua tahun. Ketika itu, Imam Syafie berumur 34 tahun dan Baghdad berada di bawah pemerintahan Harun al-Rasyid. Beliau banyak mengambil ilmu daripada Muhammad Bin Al-Hassan, seorang ahli fiqh Hanafi di negeri Iraq. Beliau juga belajar dari Ismail Bin Ulaiyyah dan Abdul Wahhab ats-Tsaqafi dan lain-lain. Beliau akhirnya mendapat tempat dan nama di Baghdad dan didatangi oleh para penuntut ilmu. Antara tokoh-tokoh yang menghadiri majlis beliau ialah Abu Bakar Abdullah Bin Az-Zubair Al-Humaidi (guru Imam Bukhari), Abu Yaaqub Yusuf Al-Buwaithi, Abu Thaur Ibrahim Bin Khalid Al-Kalbi, Harmalah Bin Yahya, Musa Bin Abil Jarud Al-Makki, Abdul Aziz Bin Yahya Al-Kinani,Al-Makki (pengarang kitab Al-Haidah), Husain Bin Ali Al-Karabisi dan lain-lain. Guru-guru beliau di Iraq lebih kurang 11 orang. Sepanjang beliau di Iraq, beliau telah mengarang kitab dan pendapat beliau yang lebih dikenali sebagai 'Qaul Qadim' (Pendapat Lama). Di Baghdad, beliau pernah dipenjarakan kerana difitnah.

Setelah menimba ilmu di Iraq, beliau kembali ke Makkah. Beliau menjadikan Masjidil Haram sebagai tempat mengajar dan menyebarkan ilmu. Beliau sangat terkenal dalam kalangan para ulamak dan para hujjaj dalam ilmu Usul Fiqh, ilmu yang belum dikupas secara mendalam oleh para ulamak sebelum beliau. Antara yang menghadiri majlis ilmu di Masjidil Haram ialah Imam Ahmad Bin Hanbal (pengasas Mazhab Hanbali). Oleh kerana terpegun dengan kedalaman ilmunya, Imam Ahmad akhirnya menjadi anak murid Imam Syafie yang setia. Imam Syafie mengajar di Masjidil Haram hampir sembilan tahun.

Imam Syafie datang semula ke Iraq pada tahun 195H (ada yang mengatakan 198H) semasa di bawah pemerintahan Khalifan Al-Makmun. Beliau menetap di sana selama dua tahun.



Selepas itu, beliau pergi ke Mesir pada 199H. Semasa di Mesir, beliau banyak mengarang kitab. Pendapat dan fatwa beliau ketika di Mesir dikenali sebagai 'Qaul Jadid' (Pendapat Baru). Usia Qaul Jadid ini ialah lima tahun, iaitu tahun kedatangan beliau di Mesir hingga tahun kematiannya juga di Mesir. Di Mesir, beliau mengajar di Masjid Amru Bin Al-As dan ini merupakan pusat pengajian pertama oleh Imam Syafie ketika di Mesir. Imam Syafie mempunyai kedudukan yang tinggi dan sangat dihormati dari segi keilmuan, kewarakan dan ta'abuddnya yang diakui oleh para ulamak. Imam Syafie meninggal di Mesir pada tahun 204H dalam usia 54 tahun, selepas menunaikan solat Maghrib, malam Jumaat, akhir bulan Rejab dan dimaqamkan pada hari Jumaat. Pada petang pengebumiannya, anak bulan Syaaban 204H kelihatan.

Rasulullah SAW telah bersabda tentang kedatangan Imam Syafie RA dengan sabdanya : "Seorang alim Quraisy akan memenuhi lapisan dunia ini dengan ilmu." Menurut Imam Ahmad Bin Hanbal, bahawa apa yang dimaksudkan Rasulullah SAW dengan sabdanya ini menunjukkan Imam Syafie.

Moga dengan segala kebaikan Imam Syafie, Allah mempermudahkan segala urusan kita.
Moga dengan segala kebaikan Imam Syafie, Allah faqihkan kita dalam ilmu agama.

Allahumma aamiin.

Sumber :
1- Khilafiah Persoalan dan Penjelasan oleh Ustaz Muhadir Haji Joll (Pensyarah UIAM)
2- Mendekati Ulama' dan Para Wali Allah di Mesir

Wan Ahmad Zuhairi,
31 Ogos 2014,
Rumah Perlis Hayyu Sabi'e,
Kaherah, Mesir.

Friday, August 22, 2014

Saya dan Al-Azhar

Al-Azhar yang tetap setia dengan sistem 'talaqqi'

بسم الله الرحمن الرحيم

إن الحمد لله نحمده ونستعينه ونستغفره ونستهديه ، ونعوذ بالله تعالى من شرور أنفسنا ومن سيئات أعمالنا ،من يهده الله فلا مضل له ومن يضلل فلا هادى له

Petikan 1 :

 "Mahasiswa Al-Azhar tidak harus berbangga dengan sejarahnya sahaja, tetapi perlu berusaha mencari yang terbaik untuk ummat. Apatah lagi pelajar-pelajar Malaysia yang memasuki Al-Azhar, perlu menguasai ilmu dengan lebih mantap. Tanpa perkara tersebut, mereka akan pulang dengan tangan kosong. Mereka perlu membebaskan diri daripada sikap fanatik dan bersedia bersikap terbuka. Tugas mereka menuntut ilmu dan pulang menyampaikan risalah dakwah seperti mana yang dilakukan oleh sarjana-sarjana Islam Al-Azhar yang ikhlas."

-10 Tokoh Sarjana Islam Paling Berpengaruh


Petikan 2 :

"Apakah bezanya seorang yang mencuri duit daripada poket bapanya dengan seorang penuntut ilmu yang telah dibiayai dan diamanahkan untuk menuntut ilmu di Mesir ini, tetapi dia tidak bersungguh-sungguh di dalam menuntut ilmu."
-Akhuna Raja Mahadi Raja Ahmad via Al-Mursyid Al-Murobbi Asy-Sheikh Yusuf Bakhour Al-Hasani Asy-Syadzuli Ad-Darqawi Hafizahullah

Cukup dua petikan ini untuk sesi muhasabah saya ketika di sini, Mesir.


Bila disemak balik, ramai orang yang mengharapkan 'rahmat' dan 'syafaat' (ilmu dan kebaikan) daripada pelajar yang belajar di luar negara tak kira negara mana, institusi apa (terutamanya jurusan agama dari Mesir). Ini bagi mengubah sedikit sebanyak lompang-lompang yang berbaki di negara kita, Malaysia.

Tapi, ramai juga pelajar yang mengambil sikap tidak beramanah dengan segala harapan tersebut.

Permusafiran mereka bukanlah seperti penebus tradisi bagi keluarga masing-masing untuk mengaji di luar negara dan lagi jauh ia sebagai sebuah permusafiran untuk 'bercuti' dan berseronok-seronok.

Untuk lebih merasai niat baik  yang menjadi keutamaan mereka ke Kota Kaherah, mereka patut lihat juga kepada agihan zakat yang dihulurkan kepada penuntut ilmu sebagai anggapan 'asnaf untuk orang yang menuntut ilmu' oleh pihak yang berkaitan. Sepatutnya, tiada lagi soal pengkhianatan dengan zakat yang dihulurkan.

*Posting ini dilakukan bagi pembakar semangat diri saya untuk tidak bergelumang dalam kelekaan yang sering laju berbisik.

Moga Allah menguatkan semangat dan keazaman kami untuk mengaut sebanyak mungkin mutiara-mutiara yang ada di bumi Mesir ini. Allahumma aamiin.

Wan Ahmad Zuhairi,
22 Ogos 2014,
Rumah Perlis, Hayyu Sabi'e,
Kaherah, Mesir.

Thursday, August 21, 2014

Jaulah Maqam Auliya'

Kaherah, Mesir

Bismillah wal hamdulillahi rabbil 3alamin.

Penulisan saya disambung secara berturut-turut memandangkan masih ada pengisian yang perlu dibuat di laman ini.

16 Ogos 2014, dianugerahkan waktu bersama Ustaz Hadi Mustaqim, Ustaz Abd Hadi dan Ustaz Adi untuk berziarah ke Maqam Wali Shogir Sheikh Asyraf Bin Sheikh Jabar Bin Ahmad (kewaliannya disahkan oleh Lajnah Al-Azhar asy-Syarif), Maqam Imam Ibnu 'Athoillah al-Askandari (pengarang Kitab Hikam), Maqam Imam Ibnu Abi Jamrah (pengarang Jam'ul Nihayah fi Bad'i Khair wal Ghoyah atau nama lainnya Ringkasan Shahih Bukhari)



Maqam al-Imam Ibnu Abi Jamrah

Dan

17 Ogos 2014, saya menyambung penjelajahan saya bersama Ustaz Rafis Zahid dan Ustaz Faizul Azmir untuk berziarah ke maqam-maqam sekitar Kaherah dan Jabal Muqattam. Antaranya ialah : 


1- Maqam Imam Romli (dikenali sebagai Syafie Shogir iaitu Syafie Kecil kerana keilmuannya seakan-akan Imam asy-Syafie),

Masjid Imam Romli

2- Maqam Imam Solahuddin al-Hadid (punya kisah tersendiri iaitu dengan izin Allah ta'ala, beliau dapat membengkokkan besi yang ada di tangannya)

3- Maqam Imam Sultan Hanafi (di dalam masjidnya, terdapat satu telaga. Telaga itu tersembunyi di bawah karpet di saf paling hadapan sekali yakni di kanan mimbar khutbah seperti dalam gambar di bawah. Telaga itu terisi air yang rasanya mirip air zam-zam)

Masjid Sultan Hanafi

4- Maqam Sayyidah Zainab At-Thohirah (Anak ketiga Sayyidina Ali merangkap cucunda Nabi Muhammad SAW),

5- Maqam Sayyidah 'Aisyah Binti Ja'far as-Shodiq (cucu-cicit Nabi Muhammad SAW dari jalur Sayyidina Hussein),

6- Maqam Imam Waqi' (guru kepada Imam asy-Syafie),

7- Maqam Sheikhul Islam al-Imam Zakariya al-Ansari (anak murid kepada Ulamak Hadith Sheikh Ibnu Hajar al-Asqalani radhiyallahu 'anhuma)

dan 

Maqam Al-'Alimul Quraisy Abu Abdullah Muhammad Bin Idris Bin al-Abbas Bin Uthman Bin Syafie Bin As-Sai'ed Bin Abid Bin Abd. Yazid Bin Hasyim Bin Abdul Muthalib Bin Abdul Manaf Bin Qusay atau lebih dikenali sebagai al-Imam asy-Syafie radhiyallahu ta'ala 'anhu. Beliau adalah anak murid kepada pencetus Imam Mazhab Maliki iaitu Imam Malik Bin Anas dan beliau juga adalah guru kepada pencetus kepada Imam Mazhab Hanbali iaitu Imam Ahmad Bin Hanbal.

Imam asy-Syafie dilahirkan di Gaza, Palestin pada tahun 150H iaitu tahun yang sama imam kepada Mazhab Hanafi, Imam Nu'man Bin Tsabit (dikenali Imam Hanafi) kembali dijemput Allah SWT. Dan wafat pada tahun 204H di Mesir.


Maqam al-Imam asy-Syafie radhiyallahu 'anhu

(moga Allah merahmati tuan kepada penama-penama di atas.)

"Aku mencintai orang soleh walaupun aku tidak termasuk daripada kalangan mereka. Aku berharap, aku berjaya mendapat syafaat (ilmu dan kebaikan) daripada mereka. Aku tidak suka perkara berbentuk maksiat, walaupun aku sama seperti perkara itu."

Di dalam ilmu tasawuf, orang yang menyeru kepada pendidikan rohani seperti tingkah laku dan perbuatan mulia serta mengharapkan rahmat-Nya, merupakan sebahagian daripada lambang isi dan roh keagamaan yakni Islam.

Mengharapkan Allah SWT menatijahkan kita roh dan jasad yang hidup bersama manhaj Islami.

Allahumma aamiin.


Wan Ahmad Zuhairi,
21 Ogos 2014,
Rumah Perlis Hayyu Sabi'e,
Kaherah, Mesir.

Permusafiran Anbiya'


Lapangan Terbang Alor Setar, Kedah

Assalamualaikum warahmatullahi wa barakatuh.

Bismillah walhamdulillah 'ala Rasulillah Sayyidil Anbiya' wal Mursalin 'ala Nabiyyuna Muhammad SAW.

Saya memanjat setinggi kesyukuran, dengan izin dan 'iyanah-Nya, saya diberi peluang dan rahmat oleh-Nya untuk menjejakkan di bumi Anbiya' wal Auliya', Mesir Asy-Syarif.

Tarikh 05 Ogos 2014 merupakan permulaan kepada permusafiran saya sejak ia mula dipendam ketika di awal 'perkenalan' saya dengan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) pada awal tahun 2013 yang lalu.

Saya dan rombongan yang lain seramai 24 orang pelajar dan dibantu seorang guru pengiring al-Fadhil Ustaz Rafis Bin Mohd Zahid, selamat tiba di Lapangan Terbang Kaherah, Mesir jam 10.00am waktu Mesir bertarikh 06 Ogos 2014.

Pena dimulakan sebagai langkah permulaan saya sebagai Ahlul Misr supaya kematangan dalam penulisan dapat dianjakkan ke tapak yang baru.

Terlebih dahulu, wajar saya menceritakan 'sirah' saya sebelum bergelar 'Ahlul Misr' (walau baru 2 minggu. Hehe).

2007 - 2011:
Bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Arau, Perlis.

Dewan al-Faizin, SMK Agama Arau, Perlis

2011 :
Tahun saya duduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan natijahnya (keputusan) agak 'tergelincir' dari landasan yang membolehkan saya meneruskan ke jurusan Pengajian Islam. Pada permulaan kepada kehidupan saya, saya amat bersungguhan dalam meletakkan keinginan untuk menjadi seorang yang faqih dalam agama. Tapi entah kenapa, saya dibawa arus bidang 'profesional' sehinggakan saya meminati Prinsip Perakaunan dan mula berazam untuk menjadi seorang 'Akauntan'.

2012 :
Target saya sedikit tersasar. Saya ditawarkan oleh Kolej Universiti Insaniah, Alor Setar, Kedah untuk mengikuti pengajian di Kuliyyah Muamalat jurusan Diploma Perbankan Islam dan bukan jurusan Perakaunan yang saya impikan sejak SPM dahulu. Akan tapi, jurusan ini masih lagi di bawah skop pengurusan yang sama iaitu 'Muamalat'.

Namun, saya sempat bernafas di KUIN hanya satu semester sahaja. Bakinya, saya mula menanam impian semula untuk menyambung kembali ke bidang agama dan institusi di Jordan adalah pilihan utama saya. Tapi, saya di'doktrin'kan oleh sahabat saya Abdul Muhaimin Bin Saad untuk meninggalkan KUIN dan mula bersiap untuk 'menyerapkan diri' sebagai pelajar sekolah semula untuk duduki peperiksaan STAM dan kembali sebagai 'pelajar agama'.

Dasarnya, agak keberatan untuk meninggalkan KUIN, walau saya bakal berdepan dengan cita-cita utama saya. Mana tak nya, saya punya 'kisah hitam' dengan madah (subjek) Bahasa Arab sejak di Penilaian Menengah Rendah (PMR) lagi. Tambahan pula, Arab saya ketika SPM, hanya atas pagar dari terjerumus ke lembah kegagalan.

Tapi, Tuhan itu al-Qahhar yakni Maha Menentukan. Dia jugalah al-'Alim iaitu Maha
Mengetahui. Tuhan mengetahui segala perjalanan hidup kita bagaimana. Cumanya, kita sahaja yang dihijabkan oleh-Nya sebagai tanda-tanda kerahsiaan Allah.




2013 :
Tarikh 14 Januari 2013, saya kembali menjadi pelajar sekolah dan mendaftarkan diri untuk bersekolah di SMA Al-Madrasah Al-Alawiyyah Ad-Diniah, Arau, Perlis. Kali ini, misi yang saya bawa adalah semakin berat berbanding misi saya ketika di SPM dan di KUIN dahulu. Halnya kerana, ia adalah permulaan kepada cita-cita saya selama ini. Moga Allah memberkati dan merahmati.

Kembali ke sekolah dan falsafahnya adalah sebagai pelajar sekolah dan bukan lagi mahasiswa. Tapi, ada kelainan sedikit disebabkan saya senior dari yang lain-lain. Hehe. Padahal, hanya setahun ja perbezaan umur kami.

Saya mulakan dengan langkah kanan ketika kembali menjadi pelajar sekolah. Mengharapkan semangat saya berterusan untuk terus perbaiki Bahasa Arab saya. Demikian pula, Bahasa Arab adalah kunci kepada bidang Pengajian Islam. Andai bahasa ini tak diperkukuhkan, bagaimana nak mula membaca kitab-kitab Arab yang ada dalam STAM. Tambahan pula, kitab-kitab ini diringkaskan oleh Al-Azhar asy-Syarif supaya muqarrar nya (sukatan) tidak jauh dengan sukatan pelajaran al-Azhar di peringkat awal. Allahu Ya Rabb !

Ketika di Al-Maad lah, saya peroleh semangat-semangat al-Azhar. Semangat yang selalu diberikan oleh para asatizah yang ada di situ seperti Ustaz Zulkifli Bin Haron, Ustaz Rafis Bin Zahid, Ustaz Yasmi Bin Yahaya, Ustaz Rosman Bin Haris, Ustaz Haron Bin Daud, Ustaz Abu Zar dan ramai lagi para asatizah yang saya tak dapat sebutkan nama mereka satu persatu (moga Allah merahmati guru-guru saya).

Mereka sebagai 'al-Azhariyyun', jadi punyalah kenangan-kenangan yang mereka tinggalkan di bumi Mesir dan mereka mengungkitkan kembali kepada kami sebagai lonjakan untuk kembali bersemangat. Jazakumullahu khair.


Sahabat STAM 2013

Paling terkenang, saat Ustaz Zulkifli (guru mata pelajaran Adab wa Nusus) membuka cerita tentang kisah-kisahnya ketika musafirul 'ilm di India dan di Mesir. Allahhhhhh. Senioriti Ustaz Zulkifli di SMA Al-Maad, membuatkan kisahnya menjadi lebih menusuk kalbu.

21 - 29 Oktober 2013
Tarikh untuk saya berhempas pulas di medan peperiksaan. Tidak dapat bayang andai saya tak berjaya dalam peperiksaan STAM. Sudahlah terlewat setahun untuk duduki STAM, kalau gagal juga, mendapatlah saya mehnah-mehnah kehidupan yang saya tak pernah lalui seperit itu.

Selesai peperiksaan STAM, saya memerhati keseluruhan peperiksaan STAM saya, Alhamdulillah wal Hamdulillah. Cuma ada sesetengah madah yang dirisaukan. Apapun, tawakkal ilallah.

2014 :
30 Januari 2014, tarikh natijah STAM. Segala perasaan itu sudah tak mampu digambarkan pada masa sekarang. Sebabnya, hanya pada waktu itu saya dapat hayati segala perasaan itu. Berdebar, takut, teruja, risau dan segala berkaitan dengannya, digaulkan sekali menjadi satu perasaan. Allahurabbi.

Tapi,

ALHAMDULILLAH !!!
JAYYID !!!

Berjaya lulus dalam STAM 2013 !

Pengorbanan menamatkan diploma demi melalui peperiksaan STAM, walau keadaan Bahasa Arab yang masih lagi di aras rendah. Walaupun hanya berpangkat Jayyid, tapi saya punya perasaan tersendiri jika disingkap dengan level Bahasa Arab saya. :)
Alhamdulillah wa syukru lillah.
Alhamdulillahi rabbil 'alamin.

Saya berhasrat nak rahsiakan natijah (keputusan) STAM daripada mak dan ayah saya. Tapi, terkantoi dengan ayah ketika di JPJ Jejawi. Hehe

Walakin (Tapi), mision still available.

Saya pergi 'menghadap' mak di rumah Mak Lang di Oran. Sampai sahaja di rumah Mak Lang, direct kepada mak yang saya cari.

Jumpa sahaja, saya terus peluk mak. Allahuakbar.

Ini kali pertama dalam sejarah hidup saya untuk membawa kejayaan kepada mak dan ayah. Selama 20 tahun saya diberi segala kenikmatan dan penjagaan oleh mak ayah, inilah kali pertama.

Yaa, inilah kali pertama !

Kekebalan kelopak mata saya dan mak, sama-sama roboh pada saat itu.

Terima kasih kepada mak ayah atas segala jasa, usaha, wang ringgit dan sebagainya untuk menjaga, menyara kehidupan adik selama ini.

"Allahumma ighfirlana zunubana wa liwalidina war hamhuma kama rabbayana sighaara, Ya Rabbal 'alamin."


Berselang 7 bulan kemudian ..


21 Ogos 2014 :
Kini, kehidupan saya diteruskan lagi untuk memasuki permulaan 'Al-Azhari'.
Permulaan kepada cita-cita yang dipendam selama ini untuk faqih dalam ilmu Agama.

Dan kini, saya sudah berada di Mesir. Alhamdulillah
Semangat itu, semakin tinggi dijulang, semakin tinggi diangkat.


Dari kiri : Irfan Fauzan, Ku Abdullah, Ikhwan, Saya, Hakim, Nasri.


Teringat satu kata-kata hikmah dan himmah (penting) :

"Gantungkan azam dan semangatmu setinggi bintang di langit dan rendahkan hatimu serendah mutiara di lautan."

Kata-kata yang punya maksud yang mendalam. Cuba untuk dihayati sepanjang kehidupan saya di Mesir Ardhul Kinanah ini. InsyaAllah


Pengajian oleh Sheikh Yusri Rusydi Jabar al-Hasani di Masjid al-Azhar



Moga dengan penulisan ini, sedikit sebanyak dapat menjadi motivasi untuk adik-adik yang agak lemah dalam Bahasa Arab tetapi berhasrat untuk menyambung dalam jurusan agama. Terbukti, kejayaan tidak dapat hadir andai usaha yang kosong. Dari usaha, "FROM ZERO TO HERO", InsyaAllah.

Saya juga berhasrat untuk menetapkan penulisan ini, sebagai motivasi saya di masa-masa akan datang.

إِنْ أُرِيدُ إِلاّ الإِصْلاَحَ مَا اسْتَطَعْتُ وَمَا تَوْفِيقِيَ إِلاّ بِاللّهِ

Maksudnya : "Aku tidak mempunyai tujuan yang lain melainkan melakukan islah (pembaikan) sedaya upaya ku, dan aku tidak mengharapkan kejayaanku melainkan dengan taufiq dari Allah"

Akhir kata, doakan saya dipakaikan 'pakaian' al-Azhar dan beramanah dengan apa yg saya 'pakai'. InsyaAllahu ta'ala rabbul 'alamin.

Jazakumullahu khair kerana sudi membacanya. :)

Salamullahu 'alaikum.

Wan Ahmad Zuhairi,
Khamis, 21 Ogos 2014,
Rumah Perlis Hayyu Sabi'e,
Kaherah, Mesir.