Monday, March 30, 2015

Bermazhab, Satu Rantaian Ilmu



Ulamak Al-Azhar


BERMAZHAB, SATU RANTAIAN ILMU

Muqaddimah

Perjalanan seseorang Muslim adalah tidak lari dari terikat dengan beberapa manhaj mengikut bidang utama di dalam Islam. Salah satunya adalah bidang fiqh yang mempunyai kuasa besar ijtihad para imam mazhab. Pemikiran fiqh dan ijtihad seseorang imam itu, sebenarnya meluaskan gambaran terhadap dalil-dalil yang didatangkan menepati dengan syarak dan petunjuk daripada sunnah Nabi Muhammad ﷺ serta kesan peninggalan para sahabat. Kesemua ini akan ditimbangkan oleh mereka yang mempunyai kepakaran dan kemahiran khusus dalam ilmu syarak. Dan melalui elemen inilah, pembentukan kaedah dan uslub terhadap penghasilan mazhab terjadi hasil kesungguhan dan keupayaan mereka dalam keagamaan.

Sebilangan besar penduduk Asia Nusantara seperti rakyat Malaysia, Fathani (Thailand), Indonesia, Brunei adalah bersandarkan kepada mazhab dari segi spiritualnya. Bagi sesetengah pihak yang tidak memahami konsep bermazhab dan tidak mendalami keluasan ilmu agama khususnya Fiqh dan Usul Fiqh, mereka mencanang bahawa pergantungan kepada mazhab, sangat merbahaya dan memudaratkan pemikiran umat Islam yang lain kerana ia menatijahkan kepada sifat yang buruk kepada masyarakat awam seperti taksub dan tidak berlapang dada di dalam hukum. Ditambah pula oleh mereka, pergantungan kepada mazhab ini, tidak pernah dilakukan oleh para sahabat Nabi Muhammad selepas kewafatan baginda. Dan permasalahan yang sering dilontarkan oleh golongan sebeginilah yang menjadikan pemikiran masyarakat awam yang lain, menjadi fobia terhadap Islam kerana keliru dengan syariat.

Namun, telah datang para ilmuan dari setiap generasi sebagai wakil bagi mereka yang bermazhab untuk menghuraikan masalah terhadap pergantungan dan perikatan kepada mazhab bukanlah bererti mereka adalah golongan yang taksub dan tidak berlapang dada dalam masalah khilafiyyah (perbezaan pendapat) serta menolak mazhab muktabar yang lain, tetapi kerana kefahaman mereka yang mendalam dan terperinci sejak turun-temurun adalah hasil pembelajaran dari satu mazhab yang sama. Langkah mereka berlindung dibawah satu payung mazhab, merupakan langkah yang tepat dan memudahkan masyarakat awam yang tidak punya kekuatan untuk mempelajari dan memahaminya seperti para ulamak dalam mazhab.

Melalui susunan kefahaman yang mereka pelajari inilah, mereka mengambil kemudian mempraktikkannya  ke dalam waqi’ (realiti). Praktikal ini menjadi mudah kerana ia seiring dengan pemahaman yang jitu oleh para alim mazhab dan amat sesuailah dengan kemahiran dan kemampuan mereka di dalam mazhab yang sama. Namun harus diingat, kefaqihan mereka di dalam mazhab yang satu bukanlah menafikan bahawa mereka jahil di dalam mazhab yang lain, tetapi ia tujuan ini sebenarnya adalah berbalik kepada kesesuaian dan adat sesebuah tempat yang mempraktikkan kehidupan mazhab yang satu sejak turun-temurun. Mazhab tersebut yang dimaksudkan adalah Mazhab Al-Imam Asy-Syafi’e rahimahullahu ta’ala.  Sebelum dihidangkan rantaian dalam mazhab ini, seeloknya kita menyelami dahulu bagaimana Islam dibawa sebelum menemui kepada mazhab yang menjadi tajuk perbincangan kita.

Islam, Agama Yang Berwarisan

Salasilah agama Islam jika kita mengkajinya, ia datang secara pewarisan. Asalnya, agama suci ini didatangkan daripada Allah kepada baginda Nabi Muhammad serta umatnya melalui perantaraan malaikat Jibrail AS. Pembawakan yang penuh himmah dan bijaksana oleh ruh dan jasad baginda Nabi Muhammad yang mulia, menjadi rahmat dan pertolongan besar kepada sekalian alam, dan perkara ini dikuatkan lagi melalui firman Allah ta’ala :

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ
Ertinya : “Dan tidak kami utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan menjadi rahmat kepada sekalian alam.” (Al-Anbiya’, 6 : 107)

Disebutkan di dalam Tafsir At-Thobari, ulamak ahli ta’wil berselisih pendapat dalam nak menentukan penerima rahmat yang dibawa oleh Nabi Muhammad ﷺ, samada rahmat ini hanya untuk orang Mukmin atau termasuk juga golongan kafir. Maka, sebahagian dari kalangan mereka (ulamak ahli ta’wil) menentukan bahawa, golongan kafir termasuk juga dalam golongan penerima rahmat daripada baginda Nabi Muhammad sama seperti orang Mukmin.

Kemudian, agama Islam tidak terhenti walau terjadinya kewafatan baginda dan diteruskan pembawakannya oleh generasi para sahabat Nabi Muhammad radhiyallahu ‘anhum seperti Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq, Sayyidina Umar Ibn Al-Khattab, Sayyidina Uthman Bin ‘Affan, Sayyidina Ali Bin Abi Thalib, Sayyidina Abdullah Bin Mas’ud, Sayyidatina ‘Aisyah Binti Sayyidina Abu Bakar iaitu isteri Nabi Muhammad yang dikahwini baginda ketika di Makkah, dua tahun sebelum Hijrah dan ramai lagi dari kalangan para sahabat.

Kemudian, dari generasi para sahabat, agama Islam diteruskan lagi dengan kehadiran para tabi’en (pengikut) seperti Imam Abu Hanifah Nu’man Bin Tsabit (wafat 150H), iaitu imam bagi Mazhab Hanafi, Imam Sa’id Bin Al-Musayyib, Imam Ubaidillah Bin ‘Amru Al-Salmani, Imam Kharijah Bin Zaid, Imam Al-Syarih Bin Al-Harith Al-Qadhi dan ramai lagi.

Dari generasi tabi’en, perutusan Islam berganjak ke generasi yang lain sebagai penerusan terhadap risalah yang suci. Generasi selepasnya dinamakan sebagai tabi’e tabi’en (pengikut kepada pengikut). Antara ulamak yang menghulurkan tangan untuk membantu menyambungkan wasilah Islam, mereka ialah seperti tiga imam mazhab yang muktabar Imam Darul Hijrah Malik Bin Anas (wafat 179H) iaitu imam bagi Mazhab Maliki, Imam Abu Abdullah Muhammad Bin Idris (wafat 204H) iaitu imam bagi Mazhab Asy-Syafi’e dan Imam Ahmad Bin Hanbal (wafat 241H) iaitu imam bagi Mazhab Hanbali. Bagi perjalanan ketiga-tiga mazhab ini, ia boleh diibaratkan oleh para pembaca sebagai mata rantai yang satu kerana Imam Ahmad Bin Hanbal merupakan anak murid kepada Imam asy-Syafi’e atau nama sebenarnya Muhammad Bin Idris ketika Imam Asy-Syafi’e berada di Iraq. Manakala Imam Asy-Syafi’e pula, merupakan anak murid kepada Imam Malik Bin Anas ketika berada di Madinah.

Ulamak Damsyik

Biografi Ringkas Imam Asy-Syafi’e

Beliau ialah Abu Abdullah Muhammad Bin Idris Bin Al-Abbas Bin Uthman Bin Syafi’ Bin Sa’ib Bin ‘Ubaid Bin Yazid Bin Hasyim Bin Abdul Muthalib Bin Abdul Manaf Bin Qusay atau lebih dikenali dengan nama Al-Imam Asy-Syafi’e, iaitu merujuk nisbahan kepada moyang beliau. Salasilah Imam Asy-Syafi’e adalah bersambungan dengan salasilah Nabi Muhammad iaitu melalui Abdul Manaf Bin Qusay. Melalui salasilah yang mulia ini, jumhur ulamak bersepakat dalam menyatakan bahawa, keturunan Imam Asy-Syafi’e adalah daripada sebelah ayahnya, adalah berketurunan Arab Quraisy.

Imam Asy-Syafi’e lahir pada tahun 150H di Gaza, Palestin. Pada tahun kelahiran beliau ini, sebahagian ulamak menyifatkan sebagai tahun penggantian ulamak, kerana pada tahun yang sama adalah tahun kewafatannya imam Mazhab Hanafi iaitu Imam Abu Hanifah Nu’man Bin Tsabit.

Kehebatan dan ketokohan Imam Asy-Syafi’e di dalam keilmuan, sangat dipandang tinggi. Beliau menguasai kesemua cabang ilmu agama seperti bidang Al-Quran dan tafsirnya, bidang Hadith dan mustolahnya serta mencakupi riwayah dan dirayahnya, bidang Fiqh dan Usul Fiqh, bidang Bahasa dan bidang Ilmu Kalam. Penguasaan ilmu Imam Asy-Syafi’e tidak hanya terhad kepada syariat sahaja, bahkan beliau juga menguasai ilmu yang luar daripada syariat dan keagamaan seperti Ilmu Firasat, Ilmu Astrologi dan Ilmu Kedoktoran. Dengan penguasaan ilmu inilah yang membentuk identiti imam kepada Mazhab Asy-Syafi’e ini.

Ketika hayat Imam Syafi’e, beliau pernah menetap di Madinah ketika zaman Imam Malik Bin Anas menjadi tenaga pengajar di Masjid Nabawi, Madinah. Hal inilah yang menjadikan Imam Asy-Syafi’e adalah anak murid kepada imam Mazhab Maliki itu. Imam Asy-Syafi’e juga pernah menetap di Baghdad, Iraq dan seterusnya membentuk mazhab pertamanya di sana. Mazhab ini dikenali dalam kalangan para ulamak sebagai Qaul Qadim (Pendapat Lama). Antara anak murid beliau di Baghdad ialah Imam Ahmad Bin Hanbal, Imam Abu Tsur Al-Kalbi dan Imam Abu Ali Al-Karabisi.

Pada akhir-akhir tahun 199H, Imam Asy-Syafi’e bertolak ke Mesir dari Baghdad dan membentuk mazhab terbarunya yang dikenali sebagai Qaul Jadid (Pendapat Baru). Dengan pembentukan mazhab kedua ini, melahirkan juga anak muridnya yang lain dalam memberi bantuan untuk menyebarkan mazhab kedua bagi Imam Asy-Syafi’e. Antara imam-imam lain yang turut sama membantu ialah seperti Imam al-Buwaithi (wafat 231H), Imam Al-Muzani (wafat 264H) dan Imam Rabi’ Al-Muradi (wafat 270H). 

Imam Asy-Syafi’e jatuh sakit di akhir hayatnya iaitu dengan mengidap penyakit buasir dan akhirnya beliau kembali ke sisi Allah pada tahun 204H ketika beliau di Mesir. Seperti yang telah dikeluarkan oleh Al-Hafiz Al-Baihaqi dan Al-Hafiz Ibnu Abdul Al-Bar serta Imam Abi Hatim di dalam manaqibnya dengan lafaz yang bersanad kepada anak murid beliau iaitu Imam Rabi’, Imam Rabi’ telah berkata bahawa : “Kewafatan Imam Asy-Syafi’e adalah pada malam Jumaat selepas solat Maghrib, pada hari terakhir dari bulan Rejab dan Imam Asy-Syafi’e telah dikebumikan pada hari Jumaat dan pada ketika itu, kami telah melihat anak bulan Sya’ban bagi tahun 204H”.

Kemudian, selepas kewafatan imam yang agung ini, datanglah ulamak-ulamak besar yang terkemudiannya dalam menyambungkan risalah agama yang penting dari satu generasi ke generasi yang lain melalui kaedah, manhaj dan pemikiran daripada Imam Asy-Syafi’e. Antaranya seperti Imam Abdul Malek Bin Abdullah Bin Yusuf Al-Juwaini (wafat 478H), Imam Muhammad Bin Muhammad Al-Ghazali (wafat 505H), Imam Abdul Kareem Bin Muhammad Ar-Rafi’e (wafat 623H), Imam Muhyiddin Abu Zakariyya Syarf An-Nawawi (wafat 676H), Imam Abdul Rahim Bin Al-Hasan Al-Isnawi (wafat 772H), Imam Ahmad Bin Ali Al-‘Asqalani (lebih masyhur dengan nama Imam Ibnu Hajar Al-‘Asqalani, wafat 852H), Imam Zakariya Al-Ansari (wafat 926H), Imam Ibnu Hajar Al-Haitami (wafat 974H), Imam Syamsuddin Ar-Ramli (lebih masyhur dengan nama Imam Ar-Ramli, wafat 1004H) dan seterusnya sehinggalah pada hari kita ini.



Dari kiri : Sheikh Ahmad Bin Al-Habbal dan Sheikh Muhammad Sa'id Ramadhan Al-Butiy

Penutup

Pada hari ini, ribuan bahkan jutaan para ulamak bernaung di bawah Mazhab Imam Asy-Syafi’e bagi menetapkan ruh dan jasad mereka seiring dengan keilmuan, ketokohan serta pemikiran daripada Imam Asy-Syafi’e. Dari satu generasi ke generasi yang lain, mazhab ini diteruskan oleh para ulamaknya seiring dengan tiga mazhab muktabar yang lain iaitu mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali.

Salasilah yang sentiasa bersambungan inilah sebagai salah satu dalil untuk menjawab kepada golongan yang membenci dan membid’ahkan konsep mazhab. Pemikiran mereka terhadap lapangan ilmu fiqh, sangatlah terbatas. Dan hasil pemikiran golongan inilah yang menyebabkan masyarakat awam yang tidak mengetahui apa-apa berkenaan syariat, menjadi gerun terhadap syariat Islam.

Pelbagai langkah drastik dan efisyen yang dilakukan oleh para ulamak pada zaman ini dalam menghadapi permasalahan ini. Ditambah lagi dengan tanggungjawab terhadap para ulamak melalui permasalahan-permasalahan yang lebih besar seperti isu murtad, isu liberalisme, isu sosialisme, isu pembunuhan sesama Islam dan isu-isu lain. Tugasan mereka yang bergelar ulamak, bukanlah mudah seperti yang dijangka oleh sesetengah pihak. Ada sebahagian ulamak yang mempertingkatkan waktu mengajar tidak kira di waktu siang mahupun di waktu malam. Ada juga sebahagian ulamak yang memainkan peranan untuk mempertingkatkan lagi institusi keagamaan sebagai langkah untuk mencetak ulamak generasi masa hadapan. Ini semua langkah mulia mereka untuk menjaga ummah daripada tidak lari dari jalan wasatiyyah Islam yang sebenar. Moga Allah merahmati dan memberkati kehidupan mereka yang bergelar ulamak, pewaris kepada risalah yang dibawa oleh Nabi Muhammad .

Rujukan :
1-  Tafsir Thobari, Cetakan Dar As-Salam, Mesir
2- Al-Madkhal ila Mazhab Al-Imam Asy-Syafi’e, Cetakan Dar An-Nafa’is, Jordan
3- Al-Madkhal ila Dirasat Al-Mazahib Al-Fiqhiyyah, Cetakan Dar As-Salam, Mesir
4- Tarikh Tasyri’ Al-Islami, Cetakan Universiti Al-Azhar, Mesir
5- Biografi Lengkap Rasulullah , Cetakan Galeri Ilmu, Malaysia 
6- Fiqh Imam Syafie, Cetakan PTS Millennia, Malaysia

Wan Ahmad Zuhairi, 
30 Mac 2015,
Rumah Perlis, Hayyu Sabi'e,
Kaherah, Mesir.