Monday, June 1, 2015

Madrasah Kami

Kenangan kami sekeluarga di Putrajaya pada tahun 2000

Mengimbau kembali kenangan sekitar tahun 1998/1999 yang lalu, kami empat beradik mengenal agama hasil didikan ayah. Jadual tetap untuk kami berempat adalah duduk bersimpuh mengaji Al-Quran (saya yang beriqra') bersama ayah selepas Maghrib, sambil emak menyiapkan makan malam.

Berturutan bacaan kami yang diperdengarkan kepada ayah. Bermula dari bacaan abang, kemudian kakak, kemudian alang dan akhirnya adik mereka yang bongsu lagi hensem ini. Sambil-sambilnya rotan sepanjang sehasta setengah milik ayah, melekat erat dipeha kami sebagai muqaddimah kepada sebarang bentuk teguran.

Oleh kerana takut-takut ditibai/ditegur 'manja' oleh ayah, pergi tandas/bilik air pun kami meminta izin. Kadang-kadangnya, minta izin ke tandas kemudian langsung curi-curi ke dapur untuk tengok menu hidangan oleh emak. Sambil menyelam minum air, jadi makan/minum sedikit sebagai alas perut sebelum kembali menghadap mudir madrasah kami.

Inilah perjalanan harian kami pada setiap malam. Kami perlu menghormati dan memuliakan jadual madrasah kami. Jadi, apa-apa program seperti mengulang-kaji dan sebagainya, perlu dikosongkan untuk beri laluan penuh kepada jadual madrasah kami.

Kami tiada guru mengaji selain dari ayah kami. Tiada pusat mengaji mahupun upahan kelas mengaji selain usaha dan keringat dari ayah kami sendiri. Kami berdiri pada waktu sekarang, hasil pembinaan tapak oleh ayah dan emak kami.

Mereka mudir bagi pengajian kami dan mereka jugalah mudir bagi kehidupan kami.

Terima kasih ayah dan emak. Sebahagian besarnya, didikan ayah dan emak yang mendirikan diri kami berempat pada waktu ini. Dan sebahagian besarnya juga, didikan ayah dan emak yang menghantarkan ruh dan jasad ini ke bumi Mesir.

Moga kenangan ini kembali berulang selepas ayah dan emak menerima cucu pertama dalam warisan madrasah kami. InsyaAllah, mudir yang berlainan tetapi bakal membawa watak yang sama.

Ikhlas dari anak kepada dua orang mudir.

Wan Ahmad Zuhairi Bin Yaacob,
01 Jun 2015 (Isnin),
Rumah Perlis, Hayyu Sabi'e,
Kaherah, Mesir.

No comments:

Post a Comment