Tuesday, September 6, 2016

RISALAH SERAM LAGI NYATA (berdasarkan kisah benar).



-Satu bacaan wajib bagi yang berhajat-


Pertamanya, saya tulis ia demi kebaikan diri. Seterusnya, terpulanglah kepada yang lain di dalam nak memberi penilaian masing-masing. Andaikata ia satu penulisan yang bermanfaat, moga ia menjadi mizan hasanat buat saya. Andai pula ia satu penulisan yang tiada faedahnya buat yang lain, maka saya katakan, moga ketemu kebaikan dari insan selain saya. Pun begitu, pada diri saya, penulisan ini sangat penting dan saya anggapkan ia sebagai risalah untuk memuhasabahkan diri di waktu ini dan masa hadapan.

Bismillah.

Di sisi saya, punya dua cetakan bagi kitab Hasyiah al-Bajuri 'ala Fathil Qarib al-Mujib (kitab fiqh bagi Mazhab al-Syafie).

Cetakan yang pertama, saya telah belinya pada tarikh 08 Oktober 2014, iaitu tempoh selepas dua bulan saya tiba di bumi Mesir. Manakala, cetakan yang kedua saya belinya pada akhir tahun lepas (2015), dan selepas itu saya sering menggunakan cetakan kedua berbanding yang pertama kerana faktor keabsahan dari susun kata, kurang berlaku tashif/tahrif dan sebagainya.

Jadi, menghampiri sepuluh bulan saya meninggalkan diri dari menyelak dan menyemak Hasyiah al-Bajuri melalui cetakan pertama yang saya miliki ini, maka pada pagi yang mulia ini saya kembali menyelaknya.

Selakan pertama bermula dari awal kitab sehinggakan saya ketemu dan terlihat akan satu tarikh pengajian yang saya ikuti. Tarikh ini, sememangnya hasil tulisan saya sendiri sebagai tanda dan petunjuk ke atas sesuatu bab itu, saya pelajarinya pada tarikh bila.

Jelas tarikh yang terpampang adalah 23 Oktober 2014, iaitu selepas 15 hari saya beli kitab ini (Hasyiah al-Bajuri cetakan pertama untuk diri saya).

Alangkah terkejutnya kerana kitab cetakan pertama ini, suci murni dari sebarang dhobit pengajian yang pernah saya ikuti. Yang saya nampak, hanyalah tasykil (perletakan baris) pada huruf-huruf yang tersusun di dalam kitab ini. Tasykil ini sememangnya saya peroleh hasil sebutan dari guru kami, al-Habib Ahmad al-Maqdi (hafizahullahu ta'ala).

Kemudian bermacam-macam soalanlah yang melintasi hati dan minda saya :

1. "Kenapa aku tak dhobit atau catat fawaid yang diterima hasil pengajian?"
2. "Aku tidur ke masa pengajian?"
3. "Apa yang aku dengar sebelum ini ya'ni semasa pengajian tersebut?"
4. "Aku faham atau tidak masa pengajian waktu itu?"

Kemudiannya, terdetik pada hati saya untuk menjawab semua soalan yang dilemparkan tadi dengan rangkuman pada satu jawapan.

"Kalaulah aku mengambil sikap untuk menunda-nunda pengajian selama ini, misalnya : "Aahh, tunggu sampai tahun tiga atau tahun empat nantilah baru nak ke pengajian. Sekarang kalau pergi pun, bukannya faham", maka sifat penundaan ini sudah pasti akan menjeratkan diri sendiri dan menjerumus kepada lemas di dalam kejahilan pada masa hadapan.

Seandainya sikap ini kekal di dalam batang tubuh saya suatu ketika dahulu, nescaya sampai ke hari ini saya takkan faham dengan apa yang diperbincangkan di dalam pengajian di masa kini. Apabila sudah tidak faham, maka tiadalah sebarang 'dhobitan' atau catatan yang boleh dilihat di pinggir helaian-helaian kertas kitab.

Bukan niat saya untuk mengatakan, "saya faham 100% dengan apa yang diperkatakan oleh masyeikh pada waktu ini" atau "saya banyak hadiri pengajian". Tapi maqsid saya di sini, faktor terbekunya sifat 'al-Taswif' (asal kalimat سوف) di dalam diri kitalah (sifat menangguhkan pengajian ke suatu masa lain), yang menyebabkan kita ketinggalan jauh daripada orang lain, malah menyebabkan kita tidak memahami pengibaratan-pengibaratan kitab serta istilah-istilah turath juga akademik.

Para al-Azhariy perlu sedar akan suatu perkara, setibanya diri dan ruh kita di bumi Mesir suatu ketika dahulu, tiada lagi konsep al-wajib al-muwassa' (الواجب الموسع) di dalam menuntut ilmu, iaitu konsep terhadap kewajipan menuntut ilmu di bumi Mesir adalah bersifat keluasan waktu yang luas.

Dengan tanggapan dangkal, kononnya nak memulakan diri untuk hadiri ke pengajian apabila sudah menjengah ke tahun dua nanti, atau di tahun tiga nanti, atau dua bulan sebelum nak terbang balik ke Malaysia (tamat konvokesyen). Kononnya, andaikata langsung ke pengajian selepas tiba di Mesir, tak akan faham disebabkan permasalahan bahasa. Jadi, kehadiran ke pengajian pada waktu ini, seolah-olah membuang masa.

Sebaliknya kita kena faham, istilah "pergi pengajian" selepas tiba di Mesir adalah bersifat al-wajib al-mudhoyyaq (الواجب المضيق) iaitu kewajipan yang bersifat sempit.

Ini bermaksud, menuntut ilmu ketika keberadaan kita di Mesir adalah berhajat kepada setiap dan sepenuh masa. Akan tetapi, ini bukanlah menafikan hajat kita yang lain seperti makan/minum, rehat dan sebagainya.

Akhi, kewajipan menuntut ilmu sepanjang keberadaan di Mesir adalah sama sepertinya konsep puasa sehari di bulan Ramadhan.

Sewaktu Ramadhan, kita wajib berpuasa dari jam 5.30am (misalnya ia waktu Subuh) sehingga jam 7.15pm (misalnya ia waktu Maghrib). Jadi, dalam tempoh ini kita WAJIB UNTUK BERPUASA SEPENUH MASA bermula jam 5.30am sehingga waktu berbuka 7.15pm, tanpa menafikan perbuatan-perbuatan lain seperti tidur, rehat dan sebagainya.

Begitulah juga gambarannya untuk menuntut ilmu di Mesir. Bermula dari ketibaan diri dan ruh di bumi barakah ini sehingga sampainya hari yang membawa langkah untuk pulang ke Malaysia, maka di dalam tempoh ini ia telah menjadi SATU KEWAJIPAN SEPENUH MASA DALAM MENUNTUT ILMU. Dalam tempoh kewajipan ini juga, ia tidak menafikan perbuatan-perbuatan lain seperti tidur, rehat dan sebagainya.

Jadi, sedar atau tidak bahawasanya waktu kita sebelum ini sudah melintasi had sempadan konsep sebenar untuk menuntut ilmu di Mesir. Waktu-waktu kita dibiarkan hangus dengan perkara-perkara yang lagha dan tak berfaedah. Kita kena akui bahawa kita sangat lemah di dalam penjagaan waktu, berbeza dengan para ulamak terdahulu.

Disebutkan sebuah kisah di dalam kitab قيمة الزمان عند العلماء karangan Imam al-Allamah Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah al-Hanafi : "Telah berkata Imam Abu al-Hasan al-Attar, iaitu murid kepada Imam al-Nawawi (676H) rahimahumallah ta'ala : "Imam al-Nawawi pernah memberitahunya bahawa beliau (Imam al-Nawawi) menghadiri pengajian pada setiap hari sebanyak DUA BELAS PENGAJIAN.

Dua pengajian diperuntukkan bagi kitab fiqh dari Mazhab al-Syafie iaitu al-Wasith karya Imam Ghazali (505H), satu pengajian bagi kitab fiqh Mazhab al-Syafie juga iaitu al-Muhazzab karya Imam Abu Ishaq al-Syirazi (476H), satu pengajian bagi himpunan antara dua sahih, satu pengajian bagi Sahih Muslim, satu pengajian buat al-Luma' oleh Imam Ibn Jinni di dalam Ilmu Nahwu, satu pengajian untuk pengajian kitab Islah al-Mantiq oleh Imam Ibn al-Sikkit di dalam Ilmu Bahasa, satu pengajian diperuntukkan untuk Ilmu Tasrif, satu pengajian dibekalkan untuk pengajian Usul Fiqh berdasarkan kitab al-Luma' karangan Imam al-Syirazi dan kadang-kadangnya berdasarkan kitab al-Muntakhab karangan Imam Fakhruddin al-Razi (606H), satu pengajian dibekalkan untuk pengajian Ilmu Rijal dan satu pengajian dipergunakan untuk Ilmu Usuluddin".

Moga kita ketemu jalan pengembalian kemudian diberi taufiq, hidayah serta 'inayah-Nya untuk beramanah dengan kewajipan.

Ditulis,
al-Faqir, al-Haqir Wan Zuhairi,
8:46AM, Selasa, 06 Sept 2016M,
Bayt al-Furqan, Sidna Husayn, Qaherah.

#muhasabah
#alAzhariybangkit
#stabilitimodendanturath