"Maka berusahalah kamu mengikuti jejak langkah mereka walaupun kamu tidak jadi seperti mereka. Sesungguhnya mengikuti jejak langkah orang yang mulia adalah suatu kemenangan."
Friday, April 3, 2015
Sinaran Manhaj Al-Azhari
Sejak pembebasan Al-Azhar dari penguasaan Syiah Fatimiyyah suatu ketika dahulu, dari satu generasi ke generasi yang lain, institusi Al-Azhar Asy-Syarif menjadi terkehadapan dalam melahirkan ulamak yang berkemahiran secara universal dalam ilmu duniawi mahupun ukhrawi.
Permulaan praktikal adalah mereka (pelajar) melazimi dengan ilmu melalui para masheikhnya yang diberi kelayakan dalam menyampaikan ilmu, sehinggalah selepas itu mereka pula diijazahkan kelayakan meriwayat, mengajar dan mengarang.
Al-Azhar mendidik para pelajarnya untuk mendapat pembentukan ilmu yang sempurna melalui tiga unsur penting :
1- Sumber dan dalil (bukti) iaitu Al-Quran, As-Sunnah, Ijma' dan Qiyas.
2- Manhaj yang muktabar dan berdisplin dalam memahami dan menganalisis sesebuah teks.
3- Keahlian, kemahiran dan kemampuan yang wajib dimiliki oleh setiap penuntut ilmu di dalam ilmu-ilmu Islam.
Dengan pembentukan yang menyeluruh inilah, Al-Azhar dapat melahirkan ramai tokoh-tokoh agamawan, yang mana mereka dapat memahami maqasid (matlamat) di dalam pensyariatan.
Moga Allah ta'ala memelihara Al-Azhar dan para ulamaknya, seterusnya dengan taufiq dari-Nya menjadikan mereka 'wasilah' dalam menyampaikan rahmat dan hidayah Allah ta'ala dan secara tidak langsung menjadi benteng yang kukuh dalam menghadapi permasalahan di dalam waqi' (realiti).
Kata Fadhilatus Sheikh Al-Doktor Ali Bin Jum'ah :
'Al-Azhari' adalah mereka yang berkehendak hidayah dan rahmat untuk setiap manusia. Dan dia (Al-Azhari) tidak akan berkehendak kepada kedunguan, kekerasan hati, penyimpangan dari memberi sesuatu gambaran dan juga kejahilan. Inilah hakikat seseorang yang bergelar 'Al-Azhari' ".
*Diadaptasi selepas selesai membaca terjemahan risalah berkenaan manhaj Al-Azhari oleh pemilik karya asal iaitu Fadhilatus Sheikh Dr. Usamah Sayyid Mahmud Al-Azhari Asy-Syafi'e.
Terima kasih kepada penterjemah, Ustaz Ahmad Faiz Al-Fateh Al-Azhari.
Wan Ahmad Zuhairi Bin Yaacob,
04 April 2015 (Sabtu),
Rumah Perlis, Hayyu Sabi'e,
Kaherah, Mesir.
Monday, March 30, 2015
Bermazhab, Satu Rantaian Ilmu
![]() |
| Ulamak Al-Azhar |
BERMAZHAB, SATU RANTAIAN ILMU
Muqaddimah
Perjalanan
seseorang Muslim adalah tidak lari dari terikat dengan beberapa manhaj mengikut
bidang utama di dalam Islam. Salah satunya adalah bidang fiqh yang mempunyai
kuasa besar ijtihad para imam mazhab. Pemikiran fiqh dan ijtihad seseorang imam
itu, sebenarnya meluaskan gambaran terhadap dalil-dalil yang didatangkan
menepati dengan syarak dan petunjuk daripada sunnah Nabi Muhammad ﷺ
serta kesan peninggalan para sahabat. Kesemua ini akan ditimbangkan oleh mereka
yang mempunyai kepakaran dan kemahiran khusus dalam ilmu syarak. Dan melalui
elemen inilah, pembentukan kaedah dan uslub terhadap penghasilan mazhab terjadi
hasil kesungguhan dan keupayaan mereka dalam keagamaan.
Sebilangan besar
penduduk Asia Nusantara seperti rakyat Malaysia, Fathani (Thailand), Indonesia,
Brunei adalah bersandarkan kepada mazhab dari segi spiritualnya. Bagi sesetengah
pihak yang
tidak memahami konsep bermazhab dan tidak mendalami keluasan ilmu agama
khususnya Fiqh dan Usul Fiqh, mereka mencanang bahawa pergantungan kepada
mazhab, sangat merbahaya dan memudaratkan pemikiran umat Islam yang lain kerana
ia menatijahkan kepada sifat yang buruk kepada masyarakat awam seperti taksub
dan tidak berlapang dada di dalam hukum. Ditambah pula oleh mereka,
pergantungan kepada mazhab ini, tidak pernah dilakukan oleh para sahabat Nabi
Muhammad ﷺ
selepas
kewafatan baginda. Dan permasalahan yang sering dilontarkan oleh golongan
sebeginilah yang menjadikan pemikiran masyarakat awam yang lain, menjadi fobia
terhadap Islam kerana keliru dengan syariat.
Islam, Agama Yang Berwarisan
وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ
Ertinya
: “Dan tidak kami utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan menjadi rahmat
kepada sekalian alam.” (Al-Anbiya’, 6 : 107)
Disebutkan
di dalam Tafsir At-Thobari, ulamak ahli ta’wil berselisih pendapat dalam nak
menentukan penerima rahmat yang dibawa oleh Nabi Muhammad ﷺ, samada rahmat ini hanya untuk orang
Mukmin atau termasuk juga golongan kafir. Maka, sebahagian dari kalangan mereka
(ulamak ahli ta’wil) menentukan bahawa, golongan kafir termasuk juga dalam
golongan penerima rahmat daripada baginda Nabi Muhammad ﷺ sama seperti orang Mukmin.
Kemudian, agama Islam tidak
terhenti walau terjadinya kewafatan baginda dan diteruskan pembawakannya oleh
generasi para sahabat Nabi Muhammad ﷺ radhiyallahu
‘anhum seperti Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq, Sayyidina Umar Ibn Al-Khattab,
Sayyidina Uthman Bin ‘Affan, Sayyidina Ali Bin Abi Thalib, Sayyidina Abdullah
Bin Mas’ud, Sayyidatina ‘Aisyah Binti Sayyidina Abu Bakar iaitu isteri Nabi
Muhammad ﷺ
yang
dikahwini baginda ketika di Makkah, dua tahun sebelum Hijrah dan ramai lagi
dari kalangan para sahabat.
Kemudian, dari generasi para
sahabat, agama Islam diteruskan lagi dengan kehadiran para tabi’en (pengikut) seperti
Imam Abu Hanifah Nu’man Bin Tsabit (wafat 150H), iaitu imam bagi Mazhab Hanafi,
Imam Sa’id Bin Al-Musayyib, Imam Ubaidillah Bin ‘Amru Al-Salmani, Imam Kharijah
Bin Zaid, Imam Al-Syarih Bin Al-Harith Al-Qadhi dan ramai lagi.
Dari generasi tabi’en, perutusan
Islam berganjak ke generasi yang lain sebagai penerusan terhadap risalah yang
suci. Generasi selepasnya dinamakan sebagai tabi’e tabi’en (pengikut kepada
pengikut). Antara ulamak yang menghulurkan tangan untuk membantu menyambungkan
wasilah Islam, mereka ialah seperti tiga imam mazhab yang muktabar Imam Darul
Hijrah Malik Bin Anas (wafat 179H) iaitu imam bagi Mazhab Maliki, Imam Abu
Abdullah Muhammad Bin Idris (wafat 204H) iaitu imam bagi Mazhab Asy-Syafi’e dan
Imam Ahmad Bin Hanbal (wafat 241H) iaitu imam bagi Mazhab Hanbali. Bagi
perjalanan ketiga-tiga mazhab ini, ia boleh diibaratkan oleh para pembaca sebagai
mata rantai yang satu kerana Imam Ahmad Bin Hanbal merupakan anak murid kepada
Imam asy-Syafi’e atau nama sebenarnya Muhammad Bin Idris ketika Imam
Asy-Syafi’e berada di Iraq. Manakala Imam Asy-Syafi’e pula, merupakan anak
murid kepada Imam Malik Bin Anas ketika berada di Madinah.
![]() |
| Ulamak Damsyik |
Biografi Ringkas Imam Asy-Syafi’e
Beliau ialah Abu Abdullah Muhammad
Bin Idris Bin Al-Abbas Bin Uthman Bin Syafi’ Bin Sa’ib Bin ‘Ubaid Bin Yazid Bin
Hasyim Bin Abdul Muthalib Bin Abdul Manaf Bin Qusay atau lebih dikenali dengan nama
Al-Imam Asy-Syafi’e, iaitu merujuk nisbahan kepada moyang beliau. Salasilah
Imam Asy-Syafi’e adalah bersambungan dengan salasilah Nabi Muhammad ﷺ
iaitu
melalui Abdul Manaf Bin Qusay. Melalui salasilah yang mulia ini, jumhur ulamak
bersepakat dalam menyatakan bahawa, keturunan Imam Asy-Syafi’e adalah daripada
sebelah ayahnya, adalah berketurunan Arab Quraisy.
Imam Asy-Syafi’e jatuh sakit di akhir hayatnya iaitu dengan mengidap penyakit buasir dan akhirnya beliau kembali ke sisi Allah ﷻ pada tahun 204H ketika beliau di Mesir. Seperti yang telah dikeluarkan oleh Al-Hafiz Al-Baihaqi dan Al-Hafiz Ibnu Abdul Al-Bar serta Imam Abi Hatim di dalam manaqibnya dengan lafaz yang bersanad kepada anak murid beliau iaitu Imam Rabi’, Imam Rabi’ telah berkata bahawa : “Kewafatan Imam Asy-Syafi’e adalah pada malam Jumaat selepas solat Maghrib, pada hari terakhir dari bulan Rejab dan Imam Asy-Syafi’e telah dikebumikan pada hari Jumaat dan pada ketika itu, kami telah melihat anak bulan Sya’ban bagi tahun 204H”.
Penutup
Rujukan :
1- Tafsir Thobari, Cetakan Dar As-Salam, Mesir
2- Al-Madkhal ila Mazhab Al-Imam Asy-Syafi’e, Cetakan Dar An-Nafa’is, Jordan
3- Al-Madkhal ila Dirasat Al-Mazahib Al-Fiqhiyyah, Cetakan Dar As-Salam, Mesir
4- Tarikh Tasyri’ Al-Islami, Cetakan Universiti Al-Azhar, Mesir
5- Biografi Lengkap Rasulullah ﷺ, Cetakan Galeri Ilmu, Malaysia
6- Fiqh Imam Syafie, Cetakan PTS Millennia, Malaysia
Wan Ahmad Zuhairi,
30 Mac 2015,
Rumah Perlis, Hayyu Sabi'e,
Kaherah, Mesir.
Subscribe to:
Posts (Atom)



