Sunday, June 14, 2015

Perbezaan Gerak Fikir Antara Ulamak dan Orang Awam


Sewaktu Syria dan rakyatnya dilanyak teruk oleh puak Basyar Al-Asad, salah seorang ulamak Syria iaitu Sheikh Dr. Muhammad Sa'id Ramadhan Al-Butiy menasihatkan kepada rakyat Syria agar tidak keluar berperang walaupun alasan mereka adalah 'nak mencapai keamanan'. Dikatanya kepada Sheikh Dr. Muhammad Sa'id Ramadhan Al-Butiy, beliau adalah 'ulamak kerajaan'. Dan sampai sekarang Syria belum mencapai keamanan seperti yang dikehendaki oleh rakyat Syria dan seluruh umat Islam. Bahkan, hari demi hari lebih ramai rakyat Syria yang terkorban termasuklah Sheikh Dr. Muhammad Sa'id Ramadhan Al-Butiy sendiri. Beliau dibunuh dengan berlaku pengeboman ketikamana beliau sedang mengajar tafsir selepas Maghrib di dalam Masjid Al-Iman di kota Damaskus pada tarikh 22 Mac 2013.

Perbezaan gerak fikir antara ulamak dan orang awam, majoriti orang awam akan mendahulukan emosi untuk mencapai sesuatu matlamat. Lantaran itu, mereka kabur serta terhijab dari melihat beberapa kemungkinan yang nyata, baik dari segi kebaikan mahupun kerosakan yang bakal terjadi atas sikap terburu-buru mereka. Manakala, berbeza dengan gerak fikir para ulamak. Sesuatu permasalahan, mereka lihat dengan lebih jauh dan mendalam terhadap perkara sudah terjadi, perkara yang terjadi dan perkara apa yang bakal terjadi sekiranya terburu-buru dalam tindakan.

Akhi, tidak ada dari mana-mana ulamak yang menyukai dan meredhai kezaliman dan membenci keamanan. Kalau akhi bertarung untuk mencapai keamanan, mereka (para ulamak) bertarung supaya orang awam mendapat kefahaman yang kamil (sempurna) dan seterusnya membina keamanan dengan jalan yang haqq.

Istilah-istilah kotor inilah yang dilemparkan dan dihunuskan oleh segelintir penduduk bumi kepada para ulamak di seluruh dunia yang tidak seteru dengan pandangan 'suci' mereka, termasuklah lemparan dan hunusan terhadap ulamak dari institusi Al-Azhar. Mereka yakni penduduk bumi ini menyangka, para ulamak tidak memikirkan isu keamanan dan hanya mereka yang memikirkan isu tersebut. Mereka juga menyangka, para ulamak tidak memahami waqi' (realiti) dan hanya mereka yang memahami waqi' (realiti). Hasilnya, caci, fitnah dan nista menjadi senjata mereka dalam nak melumpuhkan ulamak dari golongan yang berautoriti dan sewajarnya.

Jangan kita melulu menuduh para ulamak sebagai 'benteng kerajaan' atau 'ulamak kerajaan' atau gelaran-gelaran lain yang buruk dan jelik. Tapi, akhi kaji, hayati dan fahamilah mengapa dan bagaimana mereka menyusun jalan ke arah kebaikan.

Kalaulah tak mampu jadi seorang ulamak, akhi janganlah jadi seorang juhalak.

Allahul musta'an.

Wan Ahmad Zuhairi Bin Yaacob,
15 Jun 2015 (Isnin),
Rumah Perlis, Hayyu Sabi'e,
Kaherah, Mesir.

Monday, June 1, 2015

Madrasah Kami

Kenangan kami sekeluarga di Putrajaya pada tahun 2000

Mengimbau kembali kenangan sekitar tahun 1998/1999 yang lalu, kami empat beradik mengenal agama hasil didikan ayah. Jadual tetap untuk kami berempat adalah duduk bersimpuh mengaji Al-Quran (saya yang beriqra') bersama ayah selepas Maghrib, sambil emak menyiapkan makan malam.

Berturutan bacaan kami yang diperdengarkan kepada ayah. Bermula dari bacaan abang, kemudian kakak, kemudian alang dan akhirnya adik mereka yang bongsu lagi hensem ini. Sambil-sambilnya rotan sepanjang sehasta setengah milik ayah, melekat erat dipeha kami sebagai muqaddimah kepada sebarang bentuk teguran.

Oleh kerana takut-takut ditibai/ditegur 'manja' oleh ayah, pergi tandas/bilik air pun kami meminta izin. Kadang-kadangnya, minta izin ke tandas kemudian langsung curi-curi ke dapur untuk tengok menu hidangan oleh emak. Sambil menyelam minum air, jadi makan/minum sedikit sebagai alas perut sebelum kembali menghadap mudir madrasah kami.

Inilah perjalanan harian kami pada setiap malam. Kami perlu menghormati dan memuliakan jadual madrasah kami. Jadi, apa-apa program seperti mengulang-kaji dan sebagainya, perlu dikosongkan untuk beri laluan penuh kepada jadual madrasah kami.

Kami tiada guru mengaji selain dari ayah kami. Tiada pusat mengaji mahupun upahan kelas mengaji selain usaha dan keringat dari ayah kami sendiri. Kami berdiri pada waktu sekarang, hasil pembinaan tapak oleh ayah dan emak kami.

Mereka mudir bagi pengajian kami dan mereka jugalah mudir bagi kehidupan kami.

Terima kasih ayah dan emak. Sebahagian besarnya, didikan ayah dan emak yang mendirikan diri kami berempat pada waktu ini. Dan sebahagian besarnya juga, didikan ayah dan emak yang menghantarkan ruh dan jasad ini ke bumi Mesir.

Moga kenangan ini kembali berulang selepas ayah dan emak menerima cucu pertama dalam warisan madrasah kami. InsyaAllah, mudir yang berlainan tetapi bakal membawa watak yang sama.

Ikhlas dari anak kepada dua orang mudir.

Wan Ahmad Zuhairi Bin Yaacob,
01 Jun 2015 (Isnin),
Rumah Perlis, Hayyu Sabi'e,
Kaherah, Mesir.